Wednesday, May 20, 2009

Siri 4 (Manhaj Ahli Sunnah Menghadapi Ahli Bidaah)


MAUQIF AHLI SUNNAH WAL JAMAAH MIN AHLIL AHWA’ WAL BID’AH
(MANHAJ AHLI SUNNAH MENGHADAPI AHLI BID’AH)

Sesungguhnya jalan-jalan kesesatan tidak akan memberi kita kejayaan di dunia dan begitu juga kejayaan di akhirat. Kemewahan, kemajuan yang dikecapi dari jalan kesesatan itu bukan kejayaan tetapi adalah laknat Allah samalah seperti yang dikecapi oleh orang kafir yang akhirnya orang yang sesat terus yakin dengan kesesatan yang dilakukannya sehingga ke akhir hayatnya ia tidak bertaubat dan mati dalam kesesatan yang ia yakini sebagai hasanah (baik). Firman Allah : An.Nisaa’: 115 [4:115]

وَمَنْ يُشَاقِقِ الرَّسُوْلَ مِنْ بَعْدِ مَا تَبَيَّنَ لَهُ الْهُدَى وَيَتَّبِعْ غَيْرَ سَبِيْلِ الْمُؤْمِنِيْنَ نُوَلِّهِ مَا تَوَلَّى وَنُصْلِهِ جَهَنَّمَ وَسَآءَتْ مَصِيْرًا
“Dan barangsiapa yang menentang Rasul sesudah jelas petunjuk baginya dan mengikut jalan yang bukan jalan-jalan orang-orang beriman (mukmin), Kami biarkan ia berleluasa terhadap kesesatan yang telah dikuasainya itu dan Kami masukkan ia ke dalam Jahanam dan Jahanam itu seburuk-buruk tempat kembali”.

Jadi tak perlu kita hairan bila ahli bid’ah ini, yang ada bid’ahnya sekadar maksiat, yang ada bid’ah sampai kepada kufur iaitu rosak imannya, ada pula bid’ahnya yang sampai musyrik iaitu sampai terkeluar dari jalan tauhid lalu sampai kepada jalan kekafiran, tetapi mereka berjaya di dalam kehidupan mereka, menjadi ulama yang terkenal, hebat penampilan mereka dengan cara hidup mewah dan berpangkat. Itu semua tidak menjamin
kebenaran, bukanlah tanda mereka berada di atas jalan yang benar نُوَلِّهِ مَا تَوَلَّى
‘Kami biarkan ia berleluasa terhadap kesesatan’ maka mereka orang orang yang sesat boleh memiliki semua itu - nama, pangkat, kekayaan dan berbagai bagai lagi hiasan dunia, tetapi وَنُصْلِهِ جَهَنَّمَ وَسَآءَتْ مَصِيْرًا ‘dan Kami masukkan ia ke dalam Jahanam dan Jahanam itu seburuk buruk tempat kembali’ bagi orang yang sesat ini, di akhirat nanti adalah Neraka yang di mana itulah seburuk tempat bagi mereka orang yang sesat itu kembali.

Bagaimanakah caranya dikatakan menentang Rasul itu ?
Apabila apa yang disunnahkan oleh Rasulullah saw. kita tinggalkan, kita lakukan sewenang wenangnya, kita adakan rekaan kita yang kemudiannya kita sendiri hukumkan sebagai sunat. Contoh yang terang ialah : Bila matinya seorang Islam, Rasulullah saw. bersabda :

عَنْ عَبْدِ الله بن جَعْفَرٍ قَالَ: لَمَّا جَاءَ نَعْيُ جَعْفَرٍ – حِيْنَ قُتِلَ – قَالَ رَسُوْلُ الله ص: اِصْنَعُوْا لاَلِ جَعْفَرٍ طَعَامًا فَقَدْ اَتَاهُمْ مَا يَشْغَلُهُمْ
Dari Abdullah bin Jafar, ia berkata : Di kala datang khabar kematian Ja’far - dikala terbunuh, Rasulullah saw. bersabda : “Buatkanlah makanan bagi keluarga Ja’far kerana telah menimpa mereka sesuatu yang mendukakan mereka.”
H.R. oleh Ahmad, Abu Daud, Turmidzi, Ibnu Majah, Syafei dan Thabaranie.

Iaitu dari hadits ini kita disuruh membuat makanan untuk keluarga si mati dan bukannya keluarga si mati membuat jamuan untuk orang ramai. Perkara ini di zaman sekarang berlaku secara berlawanan, di mana keluarga si mati terpaksa membelanjakan wang yang ada dan kadang kadang membelanjakan wang yang disedekah yang sepatutnya dimiliki oleh anak anak peninggalan si mati (anak yatim) tetapi sebaliknya wang ini dibelanjakan untuk membuat jamuan menjamu tetamu dan kenduri arwah. Hukum perbuatan ini adalah haram dan inilah perlakuan yang dinamakan bid’ah serta terang terang berlawanan dengan sunnah Rasulullah saw. Dan inilah yang kita katakan menentang Rasulullah saw.
Firman Allah : Q.S. Al-Ahzab:36 [33 : 36]

وَمَا كَانَ لِمُؤْمِنٍ وَلا مُؤْمِنَةٍ اِذَا قَضَى اللهُ وَرَسُوْلُهُ اَمْرًا اَنْ يَكُوْنَ لَهُمُ الْخِيَرَةُ مِنْ اَمْرِهِمْ وَمَنْ يَعْصِ اللهَ وَرَسُوْلَهُ فَقَدْ ضَلَّ ضَلالاً مُبِيْنًا
“Tidak sepatutnya bagi lelaki yang beriman dan perempun yang beriman apabila Allah dan Rasul-Nya memutuskan sesuatu urusan, mereka memilih urusan mereka sendiri. Dan sesiapa yang mendurhakai Allah dan Rasul-Nya, maka ia telah sesat (dalam) kesesatan yang nyata.”

Tidak boleh kita mengambil jalan atau pilihan kita sendiri di atas sesuatu hal dalam urusan agama yang kemudiannya meninggalkan ketetapan yang telah jelas dan terang dari Rasululah saw. Ada dalam hal kenduri arwah ini mereka beralasankan bahawa “Ini adat turun temurun, budaya kita dari warisan tok nenek kita, mana boleh kita tinggalkan!”, golongan ini berpegang dengan cogan kata “syara’ kita junjung adat kita pelihara, baru selamat”. Inilah sebenarnya jalan jalan jahiliah, iaitu jalan sebelum Islam yang kemudiannya apabila datangnya petunjuk Islam kepada kita sepatutnya kita tinggalkan fahaman yang demikian. Islam bukan agama tok nenek, Islam bukan agama adat, tetapi Islam itu adalah agama Allah dan telah jelas larangan dan suruhannya dan tak perlu kepada sebarang perubahan atau tambahan. Orang yang beranggapan bila menjadi Islam amalan tuk nenek mereka juga boleh dicampur aduk di dalam Islam itu adalah orang yang berpegang dengan manhaj yang sesat bukannya manhaj As-Sunnah. Firman Allah : Al-Baqarah:170 [2:170]

وَاِذَا قِيْلَ لَهُمُ اتَّبِعُوْا مَا اَنْزَلَ اللهُ قَالُوْا بَلْ نَتَّبِعُ مَا اَلْفَيْنَا عَلَيْهِ ءَابَاءَنَا اَوَلَوْ كَانَ ءَابَاؤُهُمْ لا يَعْقِلُوْنَ شَيْئًا وَلا يَهْتَدُوْنَ
“Dan apabila dikatakan kepada mereka: Ikutlah apa yang telah diturunkan Allah, mereka menjawab: [Tidak] tetapi kami hanya mengikut apa yang kami dapati dari bapa-bapa kami. Walaupun bapa-bapa mereka tidak memikirkan suatu apapun dan tidak mendapat petunjuk”.

Hadirin sesungguhnya berkumpul di rumah si mati dan makan di dalamnya dengan kenduri pada hari pertama kematian, kemudiannya diikuti dengan kenduri tujuh hari, empat puluh hari, seratus hari, semua itu berasal dari agama Hindu, Buddha dan kalau ke Indonesia orang Kristian di sana ada yang melakukannya, semua itu tidak berdasarkan Al-Quran dan Sunnah Rasul melainkan ikutan dari jalan yang sesat. Kita dengar pendapat dari Jabir bin Abdullah Al-Bajali yang sanadnya dari riwayat yang sahih, berbunyi :

كُنَّا نَعُدُّ الاِجْتِمَاعَ اِلَى اَهْلِ الْمَيِّتِ وَصَنْعَهُمُ الطَّعَامَ بَعْدَ دَفْنِهِ مِنَ النِّيَاحَةِ
“Adalah kami menganggap bahawa berkumpul kumpul di rumah ahli mayat dan mereka membuat makanan sesudah di tanam mayat itu, sebahagian dari meratap.”
Riwayat sahih oleh Ahmad dan Ibnu Majah

Penjelasan yang dapat kita ambil faham daripada pernyataan di atas bahawa pandangan sahabat dan Tabi’ien tentang kenduri di rumah keluarga (ahli) mayat itu dianggap sebagai meratap. Dari kitab Mughni Ibnu Qudamah :

رُوِيَ اَنَّ جَرِيْرًا وَفَدَ عَلَى عُمَرَ فَقَالَ: هَلْ يُنَاحُ عَلَى مَيِّتِكُمْ؟ قَالَ: لاَ. قَالَ: وَهَلْ يَجْتَمِعُوْنَ عِنْدَ اَهْلِ الْمَيِّتِ وَيَجْعَلُوْنَ الطَّعَامَ ؟ قَالَ: نَعَمْ. قَالَ: ذَلِكَ النَّوْحُ
Telah diriwayatkan bahawa Jarier pernah datang kepada Umar, lalu Umar bertanya : “Adakah diratapkan atas mayat di kaum kamu ?” Menjawab dia : “Tidak !” Lalu (Umar) bertanya pula : “Adakah orang orang berkumpul di rumah ahli mayat dan membuat makanan ? Menjawab dia (Jarier) : “Ya”. Maka berkata Umar : “Yang demikian itu ratapan.” Mughni Ibnu Qudamah.

Dan ratapan ke atas mayat ini adalah dilarang oleh Islam, termasuklah dalam ratapan itu adalah mengadakan jamuan atau di tempat kita, dikenali sebagai kenduri arwah di mana kita berkumpul dan makan makan di rumah ahli mayat. Sabda Rasulullah saw.:

عَنِ ابْنِ عُمَرَ عَنِ النَّبِيِّ ص قَالَ: الْمَيِّتُ يُعَذَّبُ فِيْ قَبْرِهِ بِمَا نِيْحَ عَلَيْهِ
Dari Ibnu Umar dari Nabi saw. sabdanya : “Mayat itu diadzab di kuburnya dengan sebab diratapi atasnya.” Hadits sahih Muttafaq‘alaih

Maka menurut Sunnah Rasulullah saw. hendaklah ahli mayat itu diberi makan, bukan mereka yang memberi makan kepada orang ramai. Oleh itu bila berlaku kematian di kampung kita, hendaklah kita yang bukan ahli mayat ini membuat masakan / makanan dan panggil ahli mayat ke rumah kita dan jamu mereka, itulah yang dinamakan Sunnah Rasul. Janganlah berkumpul lalu membuat jamuan di rumah ahli mayat kerana semuanya itu adalah perbuatan yang haram, terlarang di dalam Islam, itulah yang dinamakan bid’ah dhalalah (sesat). Jika di kampung kita telah tiada orang yang melakukan seperti mana sunnah yang ditunjukkan oleh Rasulullah saw., maka hendaklah kita hidupkan kembali sunnah tersebut iaitu kita jemput ahli mayat makan di rumah kita bila ada kematian. Ini kita lakukan kerana menurut Sunnah Rasul dan sebagai tentangan kepada perbuatan bid’ah yang telah ternyata sesat dan cuba menyesatkan umat Islam. Perbuatan inilah yang dikatakan oleh Rasulullah saw. :

مَنْ اَحْيَا سُنَّةً مِنْ سُنَّتِيْ فَعَمِلَ بِهَا النَّاسُ كَانَ لَهُ مِثْلُ اَجْرِ مَنْ عَمِلَ بِهَا لاَ يَنْقُصُ مِنْ اُجُورِهِمْ شَيْئًا وَمَنِ ابْتَدَعَ بِدْعَةً فَعَمِلَ بِهَا كَانَ عَلَيْهِ اَوزَارُ مَنْ عَمِلَ بِهَا لاَ يَنْقُصُ مِنْ اَوزَارٍ مَنْ عَمِلَ بِهَا شَيْئًا
Barangsiapa yang menghidupkan sunnah dari sunnahku kemudian manusia mengamalkannya, maka dia mendapat pahala seperti orang yang mengamalkan sunnah tersebut tanpa mengurangi pahala mereka sedikit pun. Dan barangsiapa yang mengadakan suatu bid’ah kemudian dikerjakan (bid’ah itu) maka dia mendapat dosa yang mengamalkan bid’ah tersebut tanpa mengurangi sedikitpun dosa orang yang mengamalkan bid’ah itu. Riwayat Ibnu Majah

Iaitu di kala Sunnah yang benar telah ditinggalkan diganti dengan amalan bid’ah kenduri arwah, satu perbuatan sesat lagi mungkar sehingga ada yang mengambil harta anak yatim tanpa hak lalu dibelanjakan untuk alasan kenduri arwah, maka salah satu tentangan yang perlu kita lakukan ialah kita hidupkan kembali Sunnah Rasul dengan mengajak keluarga si mati ke rumah kita dan jamulah mereka dengan makanan dan minuman, kita adakan jamuan untuk mereka kerana mereka di dalam kedukaan dan inilah jalan yang benar yang sepatutnya kita lakukan bila ada kematian di kalangan umat Islam.

Hadirin, walaupun apa cabaran yang akan kita hadapi, tetap kita tidak boleh berganjak dari jalan Allah. Iaitu kita tetap dan mesti mempertahankan Al-Quran dan Sunnah Rasulullah saw., sebagaimana sabdanya :

عَنِ ابْنِ مَسْعُوْدٍ قَالَ : قَالَ رسول الله : عَلَيْكُمْ بِالصِّدْقِ فَاِنَّ الصِّدْقَ يَهْدِيْ اِلَى الْبِرِّ وَاِنَّ الْبِرَّ يَهْدِيْ اِلَى الْجَنَّةِ وَمَا يَزَالُ الرَّجُلُ يَصْدُقُ وَيَتَحَرَّى الصِّدْقَ حَتَّى يُكْتَبَ عِنْدَ اللهِ صِدِّيْقًا وَاِيَّاكُمْ وَالْكَذِبَ فَاِنَّ الْكَذِبَ يَهْدِيْ اِلَى الْفُجُوْرِ وَاِنَّ الْفُجُوْرَ يَهْدِيْ اِلَى النَّارِ وَمَا يَزَالُ الرَّجُلُ يَكْذِبُ وَيَتَحَرَّى الْكَذِبَ حَتَّى يُكْتَبَ عِنْدَ اللهِ كَذَّابًا
“Hendaklah kamu berpegang kepada kebenaran kerana sesungguhnya kebenaran itu memimpin kepada kebaktian dan kebaktian itu membawa ke Syurga, dan tetap seorang yang benar dan memilih kebenaran hingga dia di tulis di sisi Allah sebagai orang yang benar, dan hendaklah kamu jauhi kedustaan, sesungguhnya kedustaan itu memimpin kepada kedurhakaan dan kedurhakaan membawa ke Neraka, dan seorang tetap berdusta dan memilih kedustaan hingga tertulis di sisi Allah sebagai pendusta.” Muttafaq‘alaihi.

Mengatakan bid’ah dalam agama sebagai hasanah (baik) atau sunnat adalah satu pendustaan, kerana telah jelas Rasulullah saw. bersabda كُلُّ بِدْعَةٍ ضَلاَلَةٌ ‘setiap bid’ah itu sesat’. Maka kita menyeru kepada pelaku bid’ah supaya meninggalkan perbuatan yang demikian dan lakukan/amalkanlah sekian banyak Sunnah Rasul yang telah di tinggalkan untuk kita, sebagai umat Islam. Renungkanlah sepotong firman Allah:
أَفَتُؤْمِنُوْنَ بِبَعْضِ الْكِتَابِ وَتَكْفُرُوْنَ بِبَعْضٍ فَمَا جَزَآءُ مَنْ يَفْعَلُ ذَلِكَ مِنْكُمْ اِلاَّ خِزْيٌ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَيَوْمَ الْقِيَامَةِ يُرَدُّوْنَ اِلَى اَشَدِّ الْعَذَابِ وَمَا اللهُ بِغَافِلٍ عَمَّا تَعْمَلُوْنَ
Apakah kamu beriman pada sebahagian kitab dan ingkar pada sebahagian (lainnya)? Maka tiadalah balasan bagi yang melakukan sedemikian di kalangan kamu melainkan kehinaan dalam kehidupan dunia dan pada hari kiamat, dicampakkan mereka ke dalam sepedih-pedih siksaan dan Allah tidak sekali-kali lalai dari apa yang kamu kerjakan
Al-Baqarah ayat 85 [2:85]

No comments:

Post a Comment