Wednesday, May 20, 2009

Siri 3


MAUQIF AHLI SUNNAH WAL JAMAAH MIN AHLI AHWA’ WAL BID’AH

Kita telah bincangkan erti ahli As-Sunnah, iaitu orang orang menurut jalan salafus soleh atau untuk lebih jelas lagi orang orang yang menurut jalan yang telah di bawa oleh Rasulullah saw. iaitu berpegang dengan petunjuk dari Al-Quran dan Sunnah Rasul serta Sunnah Khalifahnya yang terpimpin. Orang orang yang berpegang dengan jalan ini juga di kenali sebagai Ahli Sunnah Wal Jamaah berdasarkan sabda Rasulullah saw. yang berbunyi :

عَلَيْكُمْ بِسُنَّتِيْ وَسُنَّةِ الْخُلَفَاءِ الرَّاشِدِيْنَ الْمَهْدِيِيْنَ تَمَسَّكُوْا بِهَا وَعَضُّوْا عَلَيْهَا بِالنَّوَاجِذِ
“Hendaklah kamu mengikuti jalan atau caraku dan jalan khalifahku yang benar yang mendapat petunjuk, berpeganglah dengannya dan gigitlah dengan geraham kamu.”
Hadits shahih Sunan Abi Daud.

Hadits itu menjelaskan tentang makna Al-Sunnah ialah sebagai cara/jalan/peninggalan Rasulullah saw. dan jalan para sahabatnya yang terpimpin yang bertepatan dengan Al-Quran dan Sunnah Rasul.

Maka di tanya kepada Rasulullah saw.: ‘Apakah itu Al-Jamaah ?’ Lalu di jawab oleh Rasulullah saw.: ‘Apa yang aku dan sahabatku berada di atasnya.’ Penjelasan ini di terangkan dalam sebuah hadits yang berbunyi :

سَتَفْتَرِقُ اُمَّتِيْ عَلَى ثَلاَثٍ وَسَبْعُوْنَ فِرْقَةً النَّاجِيَةُ مِنْهَا وَاحِدَةٌ وَالْبَاقُوْنَ هَلَكِي. قِيْل:َ وَمَنْ النَّاجِيَةُ؟ قَالَ: اَهْلُ السُّنَّةِ وَالْجَمَاعَةُ. قِيْلَ: وَمَا الْجَمَاعَةُ؟ قَالَ: مَا اَنَا عَلَيْهِ وَاَصْحَابِيْ
“Umatku akan berpecah kepada tujuh puluh tiga golongan, yang selamat satu sahaja, yang bakinya binasa. “Beliau di tanya : Siapakah yang selamat ? Beliau bersabda : Ahli Al-Sunnah Wal-Jamaah. Beliau di tanya : Apa itu Al-Jamaah ? Beliau bersabda : Apa yang aku dan sahabatku berada di atasnya.”
Hadits shahih Sunan At-Tirmidzi.

Sesungguhnya telah terang dan jelas bahawa selain dari jalan Al-Sunnah Wal-Jamaah iaitu contoh/jalan yang di tinggalkan oleh Rasulullah saw. dan jalan di mana beliau dan para sahabat berada di atasnya, selain dari jalan itu adalah jalan yang sesat, jalan ke neraka tak kira apa alasannya, apabila hujah itu bukan hujah atau dalil dari Al-Quran dan Sunnah Rasulullah saw. maka ianya tertolak. Sabda Rasulullah saw.:

مَنْ اَحْدَثَ فِيْ اَمْرِنَا هَذَا مَا لَيْسَ مِنْهُ فَهُوَ رَدٌّ
“Sesiapa yang mengadakan sesuatu yang baru dalam urusan (agama) kami ini, maka ia tertolak.” Hadits riwayat Ahmad.

Di jelaskan oleh Rasulullah saw. bahawa dalam urusan agama tidak boleh di tokok tambah, jika di lakukan juga ianya tertolak tidak di terima sebagai amalan soleh tetapi menjadi amalan yang sesat كُلُّ بِدْعَةٍ ضَلاَلَةٌ ‘setiap tambahan/rekaan (dalam urusan agama) itu sesat’. Tetapi di dalam urusan keduniaan digalakan umat Islam memperbanyakan rekaan rekaan, ciptaan ciptaan selagi tidak bertentangan dengan syariat Islam, tidak melanggar tegahan Allah dan Rasul-Nya.

Tetapi sayang umat Islam banyak yang keliru tentang hal ini, malah banyak yang melakukan perkara yang bertentangan, di mana urusan dunia yang di benarkan untuk membuat rekaan rekaan, tambahan, tidak di lakukan malah banyak di antara umat Islam hanya menurut mengikut apa yang di reka oleh kafir, sebaliknya dalam urusan agama yang di larang melakukan tambahan atau rekaan, sekian banyak umat Islam dan sebahagian besar yang bergelar ulama, berlumba lumba memperkenalkan rekaan atau bid’ah malah mempertahankan dan menghalalkannya. Sabda Rasulullah saw.:

مَنْ سَنَّ سُنَّةً حَسَنَةً فَلَهُ اَجْرُهَا وَاَجْرُ مَنْ عَمِلَ بِهَا وَمَنْ سَنَّ سُنَّةً سَيِّئَةً كَانَ عَلَيْهِ وِزْرُهَا وَوِزْرُ مَنْ عَمِلَ بِهَا
“Barangsiapa mengadakan satu sunnah yang baik, maka mendapat pahala dan pahala orang yang mengamalkannya. Dan barangsiapa mengadakan satu sunnah yang buruk, maka mendapat dosanya dan dosa orang yang menirunya.” Hadits Muslim.

Dan sabdanya lagi :

اَنْتُمْ اَعْلَمُ بِاَمْرِ دُنْيَاكُمْ
“Kamu lebih tahu urusan dunia kamu.” Hadits Muslim.

Lakukanlah kemajuan dan teknologi sains, pertanian, perindustrian dan lain lain lagi dalam urusan duniawi. Kita akan beroleh pahala di atas peninggalan/contoh/rekaan yang baik iaitu yang tidak bertentangan dengan larangan Al-Quran dan Sunnah Rasul. Juga beroleh pahala di atas berapa ramai orang yang mengikuti/menerima dan mengamal apa yang kita contohkan begitu jugalah jadinya jika sebaliknya, iaitu bila kita mencontohkan sesuatu yang di tegah peninggalan atau contoh yang mungkar kita akan beroleh dosa, dosa di atas perbuatan kita dan dosa di atas orang yang mengikuti kita tanpa di kurang kan sedikit pun dari dosa mereka. Daripada Ibnu Masud ia berkata bahawa pada suatu hari Rasulullah saw membuat garis dengan tangannya, kemudian bersabda:

هَذَا سَبِيْلُ الله ثُمَّ خَطَّ خُطُوْطًا عَنْ يَمِيْنِهِ وَعَنْ شِمَالِهِ ثُمَّ قَالَ هَذِهِ سُبُلٌ قَالَ يَزِيْدُ مُتَفَرِّقَةٌ عَلَى كُلِّ سَبِيْلٍ مِنْهَا شَيْطَانٌ يَدْعُوْ اِلَيْهِ ثُمَّ قَرَأَ وَاَنَّ هَذَا صِرَاطِيْ مُسْتَقِيْمًا فَاتَّبِعُوْهُ وَلاَ تَتَّبِعُوْا السُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُمْ عَنْ سَبِيْلِهِ ذَلِكُمْ وَصَّاكُمْ بِهِ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُوْنَ
“Inilah jalan Allah yang lurus, lalu beliau membuat garis garis di samping kanan dan kirinya kemudian bersabda : Inilah jalan jalan yang sesat, tak satu pun dari jalan jalan ini kecuali di dalamnya terdapat syaitan yang menyeru kepadanya, kemudian beliau membaca firman Allah : Dan bahawa (yang Kami perintahkan) ini adalah jalan-Ku yang lurus, maka ikutilah dia, dan janganlah kamu mengikuti jalan jalan (yang lain), kerana jalan jalan itu mencerai beraikan kamu dari jalan-Nya. Yang demikian itu di perintahkan Allah kepadamu agar kamu bertakwa.” Hadits sahih riwayat Ahmad dan An Nasaie.

Telah ada jalan yang di gariskan untuk umat Islam, jadi tidak perlu kita teraba raba mencari jalan sendiri dalam beragama. Urusan agama wajib kita menurut As-Sunnah/apa yang di jelaskan/di perintahkan oleh Allah di dalam Al-Quran dan apa yang di bawa oleh Rasulullah saw. Manakala dalam urusan dunia kita di beri pelepasan untuk melakukan dengan mempergunakan akal fikiran sehingga lahir rekaan, kemajuan dan kecemerlangan dalam kehidupan selagi tidak bercanggah dengan larangan Allah. Malah di beri bonus pahala dengan orang yang menurut sunnah hasanah (peninggalan yang baik) yang kita tinggalkan. Begitu indah Islam dengan peraturan peraturan yang telah di tetapkan untuk umatnya. Mengapa kita perlu kepada jalan yang sesat ?

Bila Allah berfirman وَلاَ تَتَّبِعُوْا السُّبُلَ ‘Dan janganlah kamu mengikuti jalan jalan (yang lain)’ ini menerangkan orang yang mengambil jalan jalan selain dari ‘jalan Allah’ adalah sesat dan di pimpin oleh syaitan. Bukanlah orang yang berpegang dengan As-Sunnah itu memecah belah dalam Islam kerana itu adalah ‘jalan Allah’ وَاَنَّ هَذَا صِرَاطِيْ مُسْتَقِيْمًا ‘Inilah jalanku yang lurus’ tetapi orang yang keluar dari jalan As-Sunnah itulah yang berpecah belah dan cuba pula memecah belahkan umat Islam yang lainnya dari jalan yang benar.

Di sebabkan mereka ini banyak sekali iaitu tujuh puluh dua puak/golongan dan yang berpegang dengan As-Sunnah itu hanya satu kumpulan dari tujuh puluh tiga golongan, maka mereka merasakan golongan As-Sunnah itu memecah belahkan mereka. Benar jika di katakan As-Sunnah itu memecah belah golongan mereka, kerana sememangnya kita berusaha untuk menarik ahli dari golongan mereka yang sesat dengan amalan bid’ah, khurafat, tarikat dan tawassul dengan ruh wali wali yang telah mati kepada jalan yang benar iaitu As-Sunnah. Tetapi jika kita di tohmah As-Sunnah itu memecah belah umat Islam, jawapannya tidak ! Golongan ahli bid’ah itulah yang terang dan jelas telah berpecah dari jalan Islam yang sebenar sebagaimana sabda Rasulullah saw.:

اِنَّ اَهْلَ الْكِتَابِ افْتَرَقُوْا فِيْ دِيْنِهِمْ عَلَى ثِنْتَيْنِ وَسَبْعِيْنَ مِلَّةً وَاِنَّ هَذِهِ الْمِلَّةَ سَتَفْتَرِقُ عَلَى ثَلاَثٍ وَسَبْعِيْنَ مِلَّةً – يَعْنِيْ الأَهْوَاء – كُلُّهَا فِي النَّارِ اِلاَّ وَاحِدَةٌ وَهِيَ الْجَمَاعَةُ وَاِنَّهُ سَيَخْرُجُ مِنْ اُمَّتِيْ اَقْوَامٌ تَجَارَى بِهِمْ تِلْكَ الأَهْوَاءُ كَمَا يَتَجَارَى الْكَلْبُ لِصَاحِبِهِ الْكَلْبُ بِصَاحِبِهِ لاَ يَبْقَى مِنْهُ عِرْقٌ وَلاَ مَفْصَلٌ اِلاَّ دَخَلَهُ
“Sesungguhnya ahli kitab berpecah di dalam agama mereka menjadi tujuh puluh dua millah, dan umat ini (Islam) akan berpecah kepada menjadi tujuk puluh tiga millah (puak/golongan). Semuanya di neraka, kecuali satu iaitu Jamaah (Al-Sunnah Wal-Jamaah). Dan akan muncul dari umatku sekelompok kaum yang di bawa hanyut oleh hawa nafsu laksana orang yang mengidap penyakit anjing rabies yang melemahkan seluruh otot dan persendian.”
Hadits riwayat Ahmad, Abu Daud, Ad-Darimi, Al-Maruzi dan Ibnu Abu Ashim dalam As-Sunnah.

Sememangnya penyakit bid’ah ini menyebabkan umat Islam menjadi lemah, baik dari ibadahnya, baik dari kehidupannya dan baik dari kebajikannya. Kerana bila ibadah itu di campur dengan bid’ah, maka ibadah itu tertolak, bila doa itu di campur bid’ah maka doa itu tertolak فَهُوَ رَدٌّ ‘maka ia tertolak’. Bila ibadah dan doa tertolak dapatkah kita berada di dalam keredhaan Allah ?

Jawapannya : Sabda Rasulullah saw.:

اَمَّا بَعْدُ فَاِنَّ خَيْرَ الْحَدِيْثِ كِتَابُ اللهِ وَخَيْرَ الْهُدَى هُدَى مُحَمَّدٍ وَشَرَّ الأُمُوْرِ مُحْدَثَاتُهَا وَكُلَّ بِدْعَةٍ ضَلاَلَةٌ
“Amma Ba’du, sesungguhnya sebaik baik ucapan adalah Kitabullah dan sebaik baik petunjuk adalah petunjuk Muhammad, serta sejelek jelek perkara adalah yang di ada adakan dan setiap bid’ah (yang di ada adakan) itu adalah sesat.” Hadits Muslim.

Maka jelas bila amalan seseorang itu di tolak kerana bid’ahnya maka ia adalah sesat, apabila amalannya menjadi sesat, apakah dunia itu akan menjadi guna padanya ? Sudah tentulah dunia itu hanya sebagai permainan iaitu kehidupan dunia itu mempermainkan hidupnya dan dia tertipu. Jika matinya dalam bid’ah yang di lakukan itu, janji Allah padanya adalah neraka sebagaimana sabda Rasulullah saw وَكُلُّ ضَلاَلَةٍ فِي النَّارِ ‘..dan setiap yang sesat itu adalah neraka.’ Hadits Muslim.

Firman Allah : Surah Luqman ayat 33 [31:33]

فَلاَ تَغُرَّنَّكُمُ الْحَيَاةُ الدُّنْيَا وَلاَ يَغُرَّنَّكُمْ بِاللهِ الْغَرُوْرُ
“Maka janganlah sekali-kali kehidupan dunia memperdayakan kamu dan jangan pula penipu (syaitan) memperdayakan kamu dalam (mentaati) Allah.”

Kita beramal siang malam mengharapkan keredhaan Allah, tetapi bila kita campurkan dengan bid’ah, maka sia sialah kehidupan ini kerana ibadah yang sepatutnya menjadi tuntutan kita semasa hidup telah tertolak. Firman Allah : Surah Adz-Dzariyat ayat 56 [51:56]
وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالاِنْسَ اِلاَّ لِيَعْبُدُوْنِ
“Dan tidak Aku jadikan jin dan manusia kecuali untuk mengesakanKu hanya beribadah kepada-Ku.”

Apabila masuk bid’ah dalam solat maka tertolaklah solat, apabila masuk bid’ah dalam haji maka tertolaklah haji dan rugilah wang ringgit yang di belanjakan, apabila masuk bid’ah dalam sedekah amal jariah maka tertolak dan rosaklah semuanya dan begitulah dalam apa jua urusan agama maka tertolak dan sesat dan merentas jalan ke neraka. Firman Allah : Surah Al-An’aam ayat 70 [6:70]

وَذَرِ الَّذِيْنَ اتَّخَذُوْا دِيْنَهُمْ لَعِبًا وَلَهْوًا وَغَرَّتْهُمُ الْحَيَاةُ الدُّنْيَا وَذَكِّرْ بِهِ اَنْ تُبْسَلَ نَفْسٌ بِمَا كَسَبَتْ لَيْسَ لَهَا مِنْ دُوْنِ اللهِ وَلِيٌّ وَلاَ شَفِيْعٌ وَاِنْ تَعْدِلْ كُلَّ عَدْلٍ لاَ يُؤْخَذْ مِنْهَا اُولَئِكَ الَّذِيْنَ اُبْسِلُوْا بِمَا كَسَبُوْا لَهُمْ شَرَابٌ مِنْ حَمِيْمٍ وَعَذَابٌ اَلِيْمٌ بِمَا كَانُوْا يَكْفُرُوْنَ
“Dan tinggalkanlah orang orang yang menjadikan agama mereka sebagai permainan dan persia-siaan/senda gurau dan mereka telah ditipu oleh kehidupan dunia. Peringatkanlah (mereka) dengan Al-Quran itu agar masing-masing diri tidak dijerumuskan (ke dalam neraka) kerana perbuatannya sendiri. Tidak akan ada baginya pelindung dan tidak pula pemberi syafaat selain daripada Allah. Dan jika ia menebus dengan segala macam tebusan pun, nescaya tidak akan diterima daripadanya. Mereka itulah orang-orang yang dijerumuskan ke dalam neraka disebabkan perbuatan mereka sendiri. Bagi mereka disediakan minuman dari air yang sedang mendidih dan azab yang pedih disebabkan kekafiran mereka dahulu.”

Untuk mencapai kemajuan ummah, salah satu syaratnya ialah kita tinggalkan kesesatan, kerana ini membezakan antara yang benar dan yang batil. Mustahil umat yang sesat dapat membina ketamadunan Islam, kerana umat Islam yang sesat itu hanya di tipu oleh penghidupan dunia bukan memajukan kehidupan tetapi kembali ke jalan jahilliah iaitu jalan jalan yang sesat yang di pimpin oleh syaitan. Islam amat mementingkan penyatuan ummah hidup berjamaah dan melarang perpecahan. Yang di maksudkan perpecahan adalah orang yang keluar dari jalan jamaah kepada jalan yang selain dari itu yang jika di pandang elok sekali pun tetap ianya dari jalan yang di pimpin oleh syaitan. Firman Allah:

كَانَ النَّاسُ اُمَّةً وَاحِدَةً فَبَعَثَ اللهُ النَّبِيِّيْنَ مُبَشِّرِيْنَ وَمُنْذِرِيْنَ وَاَنْزَلَ مَعَهُمُ الْكِتَابَ بِالْحَقِّ لِيَحْكُمَ بَيْنَ النَّاسِ فِيْمَا اخْتَلَفُوْا فِيْهِ
“Manusia itu adalah umat yang satu. (Setelah timbul perselisihan), maka Allah mengutuskan para Nabi sebagai pemberi khabar gembira dan pemberi ingatan, dan Allah menurunkan bersama mereka Kitab dengan kebenaran, untuk memberi keputusan di antara manusia tentang perkara yang mereka perselisihkan.”
Surah Al-Baqarah ayat 213 [2:213]

No comments:

Post a Comment