MAUQIF AHLI SUNNAH WAL JAMAAH MIN AHLI AHWA WA AL BID’AH
OLEH : DR.IBRAHIM BIN AMIR AR-RUHAILI
Kita sambung tajuk kita dari tajuk ‘Mauqif Ahli Sunnah wal Jamaah’ dan kita telah berbincang panjang lebar dari bab tersebut dan kita telah berhenti pada tuduhan ahli bid’ah bahawa golongan yang berpegang pada manhaj Ahli Sunnah atau ringkasnya As-Sunnah adalah golongan yang menyebabkan perpecahan pada umat Islam.
Tohmahan mereka bahawa jalan-jalan dan ilmu-ilmu yang diajar menurut As-Sunnah yakni ilmu yang berdasarkan Al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW adalah ilmu yang menyesatkan atau mengelirukan sehingga berlakunya pecah belah kepada golongan-golongan yang bermazhab iaitu mazhab yang empat ,Syafie, Maliki, Hanbali dan Hanafi.
Maka kita jawab tohmahan tersebut dengan sepotong firman Allah: An-Nisa’: 65 [4:65]
فَلاَ وَرَبِّكَ لاَ يُؤْمِنُوْنَ حَتَّى يُحَكِّمُوْكَ فِيْمَا شَجَرَ بَيْنَهُمْ ثُمَّ لاَ يَجِدُوْا فِيْ اَنْفُسِهِمْ حَرَجًا مِمَّا قَضَيْتَ وَيُسَلِّمُوْا تَسْلِيْمًا
Bermaksud:
Tidak, demi Tuhanmu, mereka tidak beriman hingga mereka menjadikan engkau hakim terhadap perkara yang mereka perselisihkan kemudian mereka tidak merasa dalam hati mereka suatu keberatan terhadap putusan yang engkau berikan kepada mereka dan mereka menerima dengan sepenuhnya
Ayat ini sesuai sekali direnungkan oleh setiap umat Islam iaitu satu perintah atau petunjuk daripada Allah; apabila umat Islam berlaku perbalahan di mana saling tuduh menuduh di antara satu dengan yang lainnya iaitu kita kembali kepada berhakimkan Sunnah Rasulullah SAW dan menerima keputusan daripada Rasulullah SAW dengan hati yang lapang, terbuka dan ikhlas. Haram bagi kita mempertikaikan sesuatu yang jelas keterangannya dari Rasulullah SAW. Firman Allah:Al-Ahzab:36 [33:36]
وَمَا كَانَ لِمُؤْمِنٍ وَلاَ مُؤْمِنَةٍ اِذَا قَضَى اللهُ وَرَسُوْلُهُ اَمْرًا اَنْ يَكُوْنَ لَهُمُ الْخِيَرَةُ مِنْ اَمْرِهِمْ وَمَنْ يَعْصِ اللهَ وَرَسُوْلَهُ فَقَدْ ضَلَّ ضَلاَلاً مُبِيْنًا
Bermaksud:
Tidak ada bagi lelaki yang beriman dan perempuan yang beriman apabila Allah dan RasulNya menetapkan suatu urusan/ketetapan, mereka membuat pilihan mereka sendiri. Barangsiapa yang menderhakai Allah dan RasulNya maka dia telah sesat dengan kesesatan yang nyata
Maka pegangan golongan As-Sunnah adalah melaksanakan apa yang di suruh menurut syariat dan meninggalkan apa yang di tegah oleh syariat kerana Islam itu adalah agama syariat, sebagaimana firman Allah: Al-Jatsiyah: 18 [45:18]
ثُمَّ جَعَلْنَاكَ عَلَى شَرِيْعَةٍ مِنَ الأَمْرِ فَاتَّبِعْهَا وَلاَ تَتَّبِعْ اَهْوَآءَ الَّذِيْنَ لاَ يَعْلَمُوْنَ
Bermaksud:
Kemudian Kamijadikan engkau (wahai Muhammad) berada di atas suatu syariat (Al-Quran dan Sunnah) maka ikutlah syariat tersebut dan jangan kamu ikut hawa nafsu orang-orang yang tidak mengetahui
Maka golongan As-Sunnah berdiri di atas fahaman ini iaitu menurut Rasulullah sebagai pesuruh/utusan Allah yang dipertanggungjawabkan oleh Allah untuk menyempurnakan syariat Allah kepada kita, dan (golongan As-Sunnah) menerima ulama’ itu sebagai guru yang kita ambil ilmu dari mereka yang mereka warisi daripada Muhammad SAW. Itulah fungsi ulama’ bagi orang yang berfaham manhaj Salafi ataupun As-Sunnah. Bersabda Rasulullah :
عَنِ الْمِقْدَامِ بْنِ مَعْدِيْكَرِبَ قَالَ: قَالَ رَسُوْلُ الله ص: اَلاَ اِنِّيْ اُوْتِيْتُ الْكِتَابَ وَمِثْلَهُ مَعَهُ. اَلاَ يُؤْشِكُ رَجُلٌ يَنْثَنِى شَعْبَانَ عَلَى اَرِيْكَتِهِ يَقُوْلُ: عَلَيْكُمْ بِالْقُرْآنِ فَمَا وَجَدْتُمْ فِيْهِ مِنْ حَلاَلٍ فَاَحِلُّوْهُ وَمَا وَجَدْتُمْ فِيْهِ مِنْ حَرَامٍ فَحَرِّمُوْهُ – أحمد –
وللترمذى بلفظ – فَيَقُوْلُ: بَيْنَنَا وَبَيْنَكُمْ كِتَابُ الله فَمَا وَجَدْنَا فِيْهِ حَلاَلاً اِسْتَحْلَلْنَاهُ وَمَا وَجَدْنَا فِيْهِ حَرَامًا حَرَّمْنَاهُ. "وَاِنَّ مَا حَرَّمَ رَسُوْلُ الله كَمَا حَرَّمَ اللهُ"
Bermaksud:
Daripada Al-Miqdam bin Ma’dikarib ia berkata: Rasulullah saw pernah bersabda: Ingatlah! Sesungguhnya aku telah diberi Kitab (Al-Quran) dan semisalnya beserta dia. Ingatlah! Hampir-hampir ada bahawa seorang lelaki duduk bersandar dengan kenyang di atas katilnya yang terhias, ia berkata: Hendaklah kamu dengan Al-Quran, maka apa-apa yang kamu dapati di dalamnya dari yang halal hendaklah kamu halalkan ia, dan apa-apa yang kamu dapati di dalamnya dari yang haram hendaklah kamu haramkan ia. – Riwayat Ahmad –
Dan Riwayat Tirmizi dengan lafaz: Ia berkata: Antara kami dan kamu sekalian ada Kitab Allah. Maka apa-apa yang kami dapati di dalamnya dari yang halal, kami menghalalkannya. Dan apa-apa yang kami dapati di dalamnya dari yang haram maka kami mengharamkannya. Dan sesungguhnya apa-apa yang telah Rasulullah haramkan itu seperti apa-apa yang telah Allah haramkan
Jalan yang dilalui oleh golongan As-Sunnah itu ialah jalan yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW. Itulah jalan yang sebenarnya yang sepatutnya diikuti oleh semua umat Islam.
عَنْ جَابِرِ بْنِ عَبْدِ الله قَالَ: كُنَّا جُلُوْسًا عِنْدَ النَّبِيِّ ص فَخَطَّ خَطًّا هَكَذَا اَمَامَهُ فَقَالَ: هَذِهِ سَبِيْلُ الله عَزَّ وَجَلَّ، وَخَطَّيْنِ عَنْ يَمِيْنِهِ وَخَطَّيْنِ عَنْ شِمَالِهِ، قَالَ: هَذِهِ سَبِيْلُ الشَّيَاطِيْنِ. ثُمَّ وَضَعَ يَدَهُ فِي الْخَطِّ الأَوْسَطِ ثُمَّ تَلاَ هَذِهِ الأَيَةَ {وَاَنَّ هَذَا صِرَاطِيْ مُسْتَقِيْمًا فَاتَّبِعُوْهُ وَلاَ تَتَّبِعُوْا السُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُمْ عَنْ سَبِيْلِهِ ذَلِكُمْ وَصَّاكُمْ بِهِ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُوْنَ}
Bermaksud:
Daripada Jabir bin Abdullah ia berkata: Kami (para sahabat) bersama-sama duduk di sisi Nabi saw pada suatu ketika lalu beliau gariskan satu garis sedemikian rupa di hadapannya lantas beliau bersabda: “Ini jalan Allah ‘Azza wa Jalla,” dan beliau gariskan lagi dua garis di sebelah kanannya dan dua garis di sebelah kirinya, beliau bersabda: “Ini jalan syaitan”. Kemudian beliau meletakkan tangannya di garis tengah lalu membaca ayat ini (yang bermaksud): Dan sesungguhnya ini jalanku yang lurus maka ikutilah ia (jalan tersebut) dan jangan kamu ikut jalan-jalan lainnya kerana jalan-jalan itu akan menceraikan kamu dari jalanNya, demikian itu diperintahkan kepada kamu moga-moga kamu bertaqwa [Surah Al-An’aam:153]
Maka jalan selain jalan As-Sunnah itu adalah jalan-jalan kesesatan yang dipimpin oleh syaitan yang menyeru ke arah kesesatan dan kemungkaran.
Maka tidak ada laluan pintas atau lain-lain jalan mudah yang menghalalkan taqlied, taksub,ghuluw kepada ulama’ sehingga membelakangkan Sunnah Rasulullah SAW.
عَنْ عَبْدِ الله بن عَمْرُو قَالَ: قَالَ رَسُوْلُ الله ص: لَيَأْتِيَنَّ عَلَى اُمَّتِيْ مَا أَتَى عَلَى بَنِى اِسْرَائِيْلَ حَذْوَ النَّعْلِ بِالنَّعْلِ حَتَّى اِنْ كَانَ مِنْهُمْ مَنْ أَتَى اُمَّهُ عَلاَنِيَةً لَكَانَ فِيْ اُمَّتِيْ مَنْ يَصْنَعُ ذَلِكَ. وَاِنَّ بَنِيْ اِسْرَائِيْلَ تَفَرَّقَتْ عَلَى ثِنْتَيْنِ وَسَبْعِيْنَ مِلَّةً وَتَفْتَرِقُ اُمَّتِيْ عَلَى ثَلاَثٍ وَسَبْعِيْنَ مِلَّةً كُلُّهُمْ فِي النَّارِ اِلاَّ مِلَّةً وَاحِدَةً. قَالُوْا: وَمَا هِيَ يَا رَسُوْلَ الله؟ قَالَ: مَا أَنَا عَلَيْهِ وَاَصْحَابِيْ
Bermaksud:
Daripada Abdullah bin ‘Amr ia berkata: Telah bersabda Rasulullah saw: Sungguh akan datang atas umatku seperti apa yang telah datang atas kaum Bani Israil selangkah demi selangkah sehingga jikalau ada daripada mereka itu orang yang mendatangi (mencampuri) ibunya dengan terang-terangan nescaya ada pula di antara umatku yang mengerjakan demikian. Dan sesungguhnya Bani Israil telah bercerai atas 72 aliran agama dan akan bercerai umatku atas 73 aliran agama. Semua mereka itu dalam neraka kecuali satu aliran agama. Para sahabat bertanya: Siapakah yang satu itu ya Rasulullah? Beliau bersabda: Apa-apa yang aku di atasnya dan para sahabatku.
H.R Tirmizi
Jelas, inilah satu-satunya jalan yang benar iaitu berpegang pada Al-Sunnah Wal Jama’ah yang biasa ditanya kepada Nabi SAW, siapakah golongan Al-Sunnah Wal-Jama’ah?
Maka dalam sebuah hadits yang lain daripada Tirmizi dengan lafaz yang lain diceritakan tentang masalah tersebut: Bersabda Rasulullah:
سَتَفْتَرِقُ اُمَّتِيْ عَلَى ثَلاَثٍ وَسَبْعُوْنَ فِرْقَةً النَّاجِيَةُ مِنْهَا وَاحِدَةٌ وَالْبَاقُوْنَ هَلَك، قِيْلَ وَمَنْ النَّاجِيَةُ؟ قَالَ: اَهْلُ السُّنَّةِ وَالْجَمَاعَةُ. قِيْلَ وَمَا الْجَمَاعَةُ؟ قَالَ: مَا أَنَا عَلَيْهِ وَاَصْحَابِيْ
Bermaksud:
Umatku akan berpecah kepada 73 golongan, yang selamat satu sahaja, yang bakinya binasa. Baginda ditanya: “Siapakah yang terselamat? Baginda bersabda: Ahli Sunnah Wal Jama’ah. Baginda ditanya: Apa itu Al-Jamaah? Baginda bersabda: Apa yang aku dan sahabatku berada di atasnya”. H.R Tirmizi
Maka jelaslah dari sekian banyak keterangan bahawa jalan berpegang pada As-sunnah atau Manhaj Salafi adalah jalan yang benar yang diperintahkan kepada kita umat Islam untuk memilihnya, dan menyingkirkan jalan-jalan selain dari jalan itu.
Jalan-jalan bertaqlied kepada ulama’, taksub kepada ulama’ sehingga tidak dapat menerima bahawa ulama’ itu boleh berlaku silap di dalam memberi pendapatnya atau hujahnya adalah jalan yang keliru dan ditolak oleh mazhab yang empat itu sendiri, sebagaimana kata-kata Imam Abu Hanifah :
لاَ يَحِلُّ لأَحَدٍ اَنْ يَأْخُذَ بِقَوْلِنَا مَا لَمْ يَعْلَمْ مِنْ اَيْنَ اَخَذْنَاهُ
“Tidak harus bagi seseorang itu mengambil pendapat kami, selagi dia tidak mengetahui di mana sumber kami ambilnya.” Dan katanya lagi :
حَرَامٌ عَلَى مَنْ لَمْ يَعْرِفْ دَلِيْلِيْ اَنْ يَفْتِيَ بِكَلاَمِيْ فَاِنَّنَا بَشَرٌ نَقُوْلُ الْقَوْلَ الْيَوْمَ وَنَرْجِعُ عَنْهُ غَدًا
“Haram ke atas orang yang tidak mengetahui dalil aku untuk mengatakan pendapatku, bahawa kami manusia, bercakap hari ini dan kami (mungkin) tariknya pada esok hari.”
Berkata Imam Syafei :
كُلُّ مَا قُلْتُ فَكَانَ عَنِ النَّبِيِّ ص خِلاَفَ قَوْلِيْ عَمَّا يَصِحُّ فَحَدِيْثُ النَّبِيُّ ص اَوْلَى فَلاَ تُقَلِّدُوْنِيْ
“Tiap tiap yang aku kata ini, pada hal hadits Nabi saw. yang sahih bertentangan dengan kata kataku, maka hadits Nabi itu lebih utama, maka jangan kamu bertaklied kepadaku.”
Begitulah hadirin nasihat para ulama As-Sunnah dalam hal mengambil pendapat mereka, hendaklah kita tahu tempat pengambilan mereka/keterangan mereka jangan bertaklied.
Berbalik kepada tohmahan-tohmahan ahli bid’ah terhadap golongan yang berpegang pada As-Sunnah - perkara ini telah berlaku sejak dari dahulu lagi. Maka ada golongan-golongan ini (yang melakukan tohmahan terhadap orang yang berpegang pada As-Sunnah) yang terkenal dengan nama Khawarij, Mu’tazilah, Jahmiyah, Qadariyah, Rafidhah dan Murji’ah serta orang-orang yang mengikut Manhaj mereka yang tergolong dari ahli-ahli bid’ah.
Jadi tak perlulah kita hairan atau gentar dengan tohmahan atau tentangan ahli bid’ah ini kerana apabila mereka telah sesat, maka syaitan itu menjadi teman mereka yang menerajui tindakan serta akal fikiran mereka.
يَخْرُجُ نَاسٌ مِنْ قِبَلِ الْمَشْرِقِ وَيَقْرَأُوْنَ الْقُرْآنَ لاَ يُجَاوِزُ تَرَاقِيَهُمْ يَمْرُقُوْنَ مِنَ الدِّيْنِ كَمَا يَمْرُقُ السَّهْمُ مِنَ الرَّمِيَّةِ ثُمَّ لاَ يَعُوْدُوْنَ فِيْهِ حَتَّى يَعُوْدَ السَّهْمُ اِلَى فُوْقِهِ
Bermaksud:
Akan muncul manusia dari arah timur membaca Al-Quran yang tidak sampai ke tenggorok mereka, mereka keluar dari agama laksana keluarnya anak panah dari busurnya kemudian mereka tidak kembali ke dalam Islam hingga anak panah kembali ke dalam busurnya
H.R Bukhari. Rujuk An-Nihayah, Ibnu atsir, vol. 3 halaman 480
Dan dalam riwayat Muslim dari Abu Dzar, Nabi SAW bersabda (bermaksud): “Mereka keluar dari agama laksana anak panah keluar dari busurnya kemudian tidak kembali lagi ke dalamnya”.
Kesimpulan untuk kita pada malam ini, biar sebanyak mana tohmahan atau tuduhan, yang diletakkan oleh golongan Ahli bid’ah kepada golongan Manhaj Salafi atau As-Sunnah, kita hendaklah kukuh mempertahankan pegangan yang benar ini. Kita wariskan kepada ahli keluarga kita, anak cucu kita supaya As-Sunnah tetap subur walaupun ditentang dan ditohmah dengan pelbagai tohmahan. Maka golongan bid’ah ini adalah golongan yang sebenarnya memecah belahkan agama dari jalan yang benar. Firman Allah:Ali-Imran :105 [3:105]
وَلاَ تَكُوْنُوْا كَالَّذِيْنَ تَفَرَّقُوْا وَاخْتَلَفُوْا مِنْ بَعْدِ مَا جَآءَهُمُ الْبَيِّنَاتُ وَاُوْلَئِكَ لَهُمْ عَذَابٌ عَظِيْمٌ
Bermaksud:
Jangan kamu seperti orang-orang yang berpecah belah dan berselisih setelah datang kepada mereka beberapa keterangan dan untuk mereka itu siksaan yang besar
Dan jika kita melihat mereka ini tidak bertanggungjawab dan mempersenda-sendakan agama, sehingga berani meremeh- temehkan urusan agama, jadi janganlah kita hairan kerana inilah sifat manusia yang tersesat, firman Allah : Al-An’aam:159 [6:159]
اِنَّ الَّذِيْنَ فَرَّقُوْا دِيْنَهُمْ وَكَانُوْا شِيَعًا لَسْتَ مِنْهُمْ فِيْ شَيْءٍ اِنَّمَا اَمْرُهُمْ اِلَى اللهِ ثُمَّ يُنَبِّئُهُمْ بِمَا كَانُوْا يَفْعَلُوْنَ
Bermaksud:
Sesungguhnya orang-orang yang berpecah belah dalam agamanya dan mereka bergolong-golongan, bukanlah engkau dari golongan mereka itu sedikit jua pun. Sesungguhnya urusan mereka itu (terserah) kepada Allah kemudian Allah mengkhabarkan kepada mereka tentang apa yang mereka perbuat