Thursday, February 26, 2009


MAUQIF AHLI SUNNAH WAL JAMAAH MIN AHLI AHWA WA AL BID’AH
OLEH : DR.IBRAHIM BIN AMIR AR-RUHAILI

Muqadimah dari tajuk ini adalah penentangan ahli sunnah terhadap golongan ahli bid’ah (mengadakan sesuatu perkara,urusan yang tidak ada contoh sebelumnya dalam urusan agama) dan dalam kitab ini juga di jelaskan bahayanya amalan bid’ah ini jika kita biarkan ia bersarang dalam kehidupan kita.

Sebut saja bid’ah, maka yang ada padanya adalah kesesatan, barang siapa yang beranggapan ada padanya kebaikan barang sedikit sekalipun dan mempertahankannya sehingga sanggup menolak sunnah Rasulullah saw. bermakna ia telah kufur kepada apa yang dibawa oleh Rasulullah saw seperti sabdanya:

فَعَلَيْكُمْ بِسُنَّتِيْ وَسُنَّةِ الْخُلَفَاءِ الرَّاشِدِيْنَ الْمَهْدِيِّيْنَ عَضُّوْا عَلَيْهَا بِالنَّوَاجِذِ وَاِيَّاكُمْ وَمُحْدَثَاتِ الأُمُوْرِ فَاِنَّ كُلَّ مُحْدَثَةٍ بِدْعَةٌ وَاِنَّ كُلَّ بِدْعَةٍ ضَلاَلَةٌ وَكُلَّ ضَلاَلَةٍ فِي النَّارِ
“Maka kewajipan kamu adalah memegang teguh sunnahku dan sunnah Khulafa’Rasyidin yang terpimpin. Peganglah erat erat sunnah sunnah itu dan hindarilah olehmu segala hal yang baru. Sebab setiap hal yang baru adalah bid’ah dan setiap yang bid’ah adalah sesat, dan setiap yang sesat di dalam neraka”. H.R Abu Daud

Dalam hadits ini jelas bahawa tidak ada sebarang kebaikan atau hasanah walau sedikit pun dalam urusan bid’ah. Jika kita kata ada, bererti kita menentang Rasul, menolak ketetapan seorang Rasul yang diwahyukan oleh Allah. Dalam hadits di atas jelas betapa jeleknya bid’ah dan dibencinya bid’ah sehinggakan dikatakan oleh Rasulullah saw. ‘setiap hal yang baru adalah bid’ah’ iaitu perkara yang diada-adakan dalam urusan agama.

Dalam urusan dunia sebenarnya boleh dilakukan pembaharuan, ciptaan, kemajuan, tambahan dan sebagainya asalkan tidak bercanggah dengan Syarak. Rasulullah saw. tidak menamakan urusan itu sebagai bid’ah tetapi dinamakan sunnah, iaitu sunnah yang baik yang tidak ditegah oleh Syarak, tidak menyalahi Al Quran dan As-Sunnah dinamakan sunnah hasanah dan yang menyalahinya dinamakan sunnah saiyi‘ah. Sabda Rasulullah saw.:

مَنْ سَنَّ سُنَّةً حَسَنَةً فَلَهُ اَجْرُهَا وَاَجْرُ مَنْ عَمِلَ بِهَا اِلَى يَوْمِ الْقِيَامَةِ وَمَنْ سَنَّ سُنَّةً سَيِّئَةً فَعَلَيْهِ وِزْرُهَا وَوِزْرُ مَنْ عَمِلَ بِهَا اِلَى يَوْمِ الْقِيَامَةِ
Siapa yang mencipta ciptaan yang baik (urusan dunia) maka baginya pahala dan pahala orang yang mengerjakannya sampai hari kiamat dan siapa mencipta ciptaan yang buruk (urusan dunia) maka baginya dosa dan dosa orang yang mengerjakannya sampai hari kiamat. Muslim


Alasan bahawa orang yang menentang Rasulullah saw. itu sebagai kufur, dengan menganggap serta menegakkan adanya bid’ah hasanah dalam urusan agama setelah sampai kepadanya keterangan bahawa setiap bid’ah itu sesat adalah berdasarkan firman Allah :

اِنَّ الَّذِيْنَ يَكْفُرُوْنَ بِاللهِ وَرُسُلِهِ وَيُرِيْدُوْنَ اَنْ يُفَرِّقُوْا بَيْنَ اللهِ وَرُسُلِهِ وَيَقُوْلُوْنَ نُؤْمِنُ بِبَعْضٍ وَنَكْفُرُ بِبَعْضٍ وَيُرِيْدُوْنَ اَنْ يَتَّخِذُوْا بَيْنَ ذَلِكَ سَبِيْلاً * اُولَئِكَ هُمُ الْكَافِرُوْنَ حَقًّا وَاَعْتَدْنَا لِلْكَافِرِيْنَ عَذَابًا مُهِيْنًا
“Sesungguhnya orang orang yang kafir kepada Allah dan Rasul Rasul-Nya, dan bermaksud membedakan antara (keimanan kepada) Allah dan Rasul Rasul-Nya, dengan mengatakan, kami beriman kepada yang sebahagian dan kami kafir terhadap sebahagian (yang lain) serta bermaksud mengambil jalan di antara yang demikian (iman dan kufur). Merekalah orang orang yang kafir sebenar benarnya. Kami telah menyediakan untuk orang orang yang kafir itu siksaan yang menghinakan.” An-Nisa’ : 150-151 [4:150-151]

Iaitu Allah terang terang mengkafirkan orang orang menolak ajaran para Rasul dengan menerima sebahagian dan menolak sebahagian yang lain. Inilah perbuatan yang di lakukan oleh kebanyakkan ahli bid’ah iaitu mereka campurkan keimanan mereka dengan kekufuran yang akhirnya tidak lain ianya akan menyebabkan mereka terus berada di dalam kekufuran dan kesesatan yang nyata. Apabila Rasulullah saw. ‘tegaskan sesungguhnya setiap bid’ah itu sesat’ sebagai orang yang beriman wajib percaya sedemikian tanpa mencari mencari akal atau alasan untuk menghalalkan bid’ah, apatah lagi untuk mengatakan bid’ah itu hasanah. Firman Allah : An-Nur : 51 [24:51]

اِنَّمَا كَانَ قَوْلَ الْمُؤْمِنِيْنَ اِذَا دُعُوْا اِلَى اللهِ وَرَسُوْلِهِ لِيَحْكُمَ بَيْنَهُمْ اَنْ يَقُوْلُوْا سَمِعْنَا وَاَطَعْنَا وَاُولَئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُوْنَ
Sesungguhnya hanyalah perkataan orang-orang beriman ketika diseru kepada Allah dan RasulNya supaya dihukum antara mereka bahawa mereka berkata “kami dengar dan kami taat”. Mereka itulah orang-orang yang berjaya

Ayat itu menjelaskan sifat orang yang beriman, dan jalan orang yang beriman itu ialah dengar dan patuh/taat. Hadirin, sekian banyak ustaz yang membawa tajuk tentang penentangan terhadap bid’ah dan kembali kepada As-Sunnah, kerana kepentingan ilmu pengetahuan yang kita tuntut itu wajib berada di jalan yang benar. Apabila apa yang kita tuntut itu tersasar dari jalan benar, terpesong ke lembah bid’ah, apa yang kita bimbang apabila amalan bid’ah itu masuk dalam tauhid kita maka rosak tauhid dan tercampak kita ke dalam kebinasaan.

Sebagai contoh dimasukkan ilmu kalam dalam cara mempelajari tauhid, ilmu yang berasal dari pencampuran falsafah Yunani tentang pemikiran ketuhanan, lalu diadun lagi dengan sya’ir juga falsafah arab dan apabila masuk ke tanah melayu dicampur pula dengan alam tahyulnya yang lahir dari kepercayaan hindu, lalu jadilah Islam yang sampai kepada kita itu satu agama yang bercampur baur dengan berbagai fahaman dan aliran. Dari jalan fikiranlah maka lahir ajaran kalam atau lebih dikenali sebagai sifat dua puluh yang sekian banyak diamalkan oleh umat Islam sekarang. Mengapa kita tidak belajar tauhid menurut apa yang diajar oleh Nabi saw. yang jelas tertera dalam Al-Quran dan hadits. Mengapa kita terima satu ajaran yang tidak ada jaminan daripada Rasulullah saw. bahawa ianya benar, sedangkan ini urusan tauhid yang kalau rosak ia maka rosaklah Islam. Sabda Rasulullah saw.:

عَنْ حُذَيْفَةَ قَالَ: قَالَ رَسُوْلُ الله ص: لاَ يَقْبَلُ لِصَاحِبِ الْبِدْعَةِ صَلاَةً وَلاَ صَوْمًا وَلاَ صَدَقَةً وَلاَ حَاجًا وَلاَ عُمْرَةً وَلاَ جِهَادًا وَلاَ صَرَفًا وَلاَ عَدْلاً، يَخْرُجُ مِنَ الاِسْلاَمِ كَمَا يَخْرُجُ الشَّعْرَةَ مِنَ الْعَجِيْنِ
Dari Huzaifah dia berkata :Bersabda Rasulullah saw:“Allah tidak akan menerima dari pembuat bid’ah puasa, solat, haji, umrah, jihad, kebaikan dan keadilan (yang di kerjakannya). Dia akan keluar dari Islam sebagaimana keluarnya rambut dari tepung.” H.R. oleh Ibnu Majah. Fathul Bari jilid 17 halaman 10

Ambillah tauhid yang asalnya dari Rasulullah saw. yang jelas ianya terpimpin dan adakah dengan mencipta jalan sendiri dengan mengambil sendiri dari Al Quran tanpa bimbingan seorang Rasul itu terjamin kebenarannya sehingga ada yang mewajibkan sifat dua puluh dengan alasan ianya sifat wajib bagi Allah. Kita bertanya : Manakah alasan dari Al-Quran dan hadits bahawa diterangkan yang sifat dua puluh itu sifat wajib bagi Allah dan wajib mempelajarinya ? Bagaimanakah dengan Rasulullah saw., sahabat sahabatnya dan para tabiin yang tak pernah mempelajarinya, kerana semasa itu belum tercipta lagi silibus sifat dua puluh, apakah mereka berdosa ? Sabda Rasulullah saw.:

مَنْ عَمِلَ عَمَلاً لَيْسَ عَلَيْهِ اَمْرُنَا فَهُوَ رَدٌّ
“Sesiapa yang melakukan satu amal yang bukan dari suruhan kami, maka (amalan itu) tertolak.” H.R. oleh Muslim.

Amalan atau perbuatan dan kepercayaan yang terseleweng dari jalan yang benar ini akan menyebabkan kesesatan. Lalu terbitlah ajaran ajaran yang sesat seperti kita dengar sekarang ini ‘kerajaan dari langit’- tok ayah Pin dan tarikat suluk, tarikat naksamandi, tarikat batiniah dan sebagainya - kerana bila agama boleh direka tambahan tambahan dengan akal fikiran asalkan tujuannya baik, maka akan lahirlah dari sebab yang demikian berbagai jalan untuk mencari kebaikkan menurut akal fikiran dan hawa nafsu. Berkata imam Malik tentang hal ini :

مَنِ ابْتَدَعَ فِي الاِسْلاَمِ بِدْعَةٌ وَيَرَاهَا حَسَنَةٌ فَقَدْ زَعَمَ اَنَّ مُحَمَّدًا قَدْ خَانَ الرِّسَالَةَ لاَنَّ اللهَ يَقُوْلُ { اَلْيَوْمَ اَكْمَلْتُ لَكُمْ دِيْنَكُمْ وَاَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِيْ وَرَضِيْتُ لَكُمُ الاِسْلاَمَ دِيْنًا } فَمَا لَمْ يَكُنْ يَوْمَئِذٍ دِيْنًا فَلاَ يَكُوْنُ الْيَوْمَ دِيْنًا
“Sesiapa yang melakukan bid’ah di dalam Islam kemudian disangkakannya baik, maka dia telah menganggap bahawa Muhammad telah mengkhianati al-Risalah kerana telah Allah berfirman (bermaksud): “Hari ini Aku telah sempurnakan agama kamu dan Aku cukupkan nikmat kamu dan Aku hanya meredai Islam sebagai agamamu.”Apa yang tidak dapat di anggap sebagai agama (Islam) pada masa itu (zaman Rasulullah saw.), maka pada masa ini ia juga tidak boleh di anggap sebagai agama.”

Berkata imam Syafei :

مَنْ اِسْتَحْسَنَ فَقَدْ شَرَعَ، وَمَنْ شَرَعَ فَقَدْ كَفَرَ. (الرسالة)
“Sesiapa yang mencipta istihsan ( menyangka baik satu ciptaan dalam agama ) maka dia telah mencipta Syarak dan barang sesiapa yang mencipta Syarak maka dia telah kafir.”
Rujuk Ar-Risalah

Hadirin, jalan bid’ah ini adalah jalan perpecahan, jalan yang menyebabkan lahir berbagai fahaman menurut akal fikiran dan hawa nafsu. Bahayanya kumpulan ini kepada kita, generasi pelapis kita ialah mereka golongan bid’ah ini menanam fahaman logika, menurut akal fikiran sehingga berani melawan Allah dan Rasul-Nya. Sebagai contoh : Golongan inilah yang menyebabkan perpecahan dalam Islam kerana mereka terseleweng dari jalan yang benar, jalan yang berpegang dengan Al-Quran dan As-Sunnah. Firman Allah : Al-An’aam:153 [6:153]:

وَاَنَّ هَذَا صِرَاطِيْ مُسْتَقِيْمًا فَاتَّبِعُوْهُ وَلاَ تَتَّبِعُوْا السُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُمْ عَنْ سَبِيْلَهِ ذَلِكُمْ وَصَّاكُمْ بِهِ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُوْنَ
“Sesungguhnya inilah jalan Ku yang lurus, oleh itu hendaklah kamu ikutinya dan janganlah kamu ikuti jalan jalan (selainnya), kerana jalan jalan itu akan mencerai beraikan kamu dari jalan-Nya. Yang demikian itu di perintahkan Allah kepada kamu agar kamu bertakwa.”

Tetapi golongan ahli bid’ah terang terang menolak ayat ini, bagi mereka orang yang menurut Al-Quran dan As-Sunnah inilah yang menyebabkan perpecahan umat Islam !
Dahulu sebelum berkembang As-Sunnah, orang melayu yang beragama Islam di tanah melayu, mereka bersatu mengadakan tahlil, mengadakan kenduri arwah, bersatu menyambut maulud Nabi, bersatu dalam kenduri kahwin yang padanya ada amalan jamu tok nenek, bersanding, aqiqah walaupun umur pengantin dah 25 tahun. Tetapi apabila datangnya As-Sunnah, maka bagi golongan ahli bid’ah ini mulalah berlaku perpecahan. Kenduri arwah haram, bersanding haram, amalan tok nenek syirik dan musyrik bagi pelakunya dan lain lain lagi yang bertentang dengan Al-Quran dan sunnah Rasulullah saw. Kejahilan yang seperti inilah yang menyebabkan mereka berani mentafsir ayat Al-Quran menurut akal sendiri sehingga kufur kepada Allah dan Rasul-Nya.

Mereka golongan ahli bid’ahlah yang telah berpecah dari jalan yang benar kerana jalan As-Sunnah adalah jalan yang diamalkan oleh Rasulullah saw. yang kemudian di tinggalkan kepada kita untuk diikuti.